Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

United ikrar bangkit musim depan

MANCHESTER, England - Sir Alex Ferguson berkata Manchester United akan bertambah kuat musim depan, selepas takhta kejuaraan Liga Perdana terlepas kepada Chelsea.

Buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, pasukan bimbingan Ferguson dinafikan kejuaraan oleh Chelsea, apabila Blues menang besar 8-0 ke atas Wigan.

Keputusan itu menyebabkan kemenangan United 4-0 ke atas Stoke, tidak lagi memberi apa-apa makna.

Walaupun mengakhiri musim di tangga kedua, Ferguson yakin United, satu mata di belakang Chelsea, akan kembali muncul sebagai pasukan juara musim, menerusi beberapa rombakan.

''Sudah tentu kami akan kembali lagi musim depan. Itulah perkara yang seharusnya dilakukan oleh Manchester United.

''Kami akan membawa balik kejuaraan ke kelab terbaik di dunia.

''Kami telah bekerja keras sepanjang musim dan akan melakukan penilaian prestasi secara keseluruhan.

''Keadaan skuad ini sudah cukup baik namun saya akan menilai secara mendalam. Mungkin ada satu atau dua perkara yang perlu dilihat, '' katanya.

Ferguson turut memuji kehebatan Chelsea sepanjang musim ini dan mengakui pasukan Carlo Ancelotti, layak menjulang kejuaraan.

''Juara Liga memang layak milik mereka. Liga ini adalah antara yang paling sukar di dunia. Kepada Ancelotti, saya ucapkan tahniah.

''Saya akui sukar buat Wigan mendapatkan sesuatu pada perlawanan tersebut.

''Selepas mendapat tahu Wigan terpaksa bermain dengan 10 pemain, segala harapan kami musnah," katanya.

Selepas menamatkan musim ini dengan kejayaan tunggal menjulang Piala Liga mengalahkan Aston Villa, Ferguson mendapati punca kejatuhan United bermula selepas gagal pada Liga Juara-Juara.

Dia menyalahkan kekalahan pada peringkat suku akhir kepada Bayern Munich, menerusi peraturan gol di tempat lawan, dan kontroversi membenarkan gol John Terry, yang memberikan kemenangan kepada Chelsea ketika berdepan United, menjadi faktor kejatuhan Red Devils.

''Saya tidak mahu memperkatakan tentang semua perkara buruk yang telah berlaku.

''Anda boleh bercakap banyak perkara dan keputusan buruk di Stamford Bridge, yang mengubah segala peluang kami.

''Liga Juara-Juara adalah kekecewaan terbesar kami. Kami sepatutnya bermain pada perlawanan akhir," katanya.

United mendahului 2-0 pada separuh masa bertemu Stoke, menerusi gol Darren Fletcher dan Ryan Giggs.

Gol sendiri oleh pemain pertahanan Stoke, Danny Higginbotham dan satu lagi jaringan Park Ji-Sung, memberikan kemenangan mudah buat pasukan tuan rumah, namun ia tidak lagi memberikan sebarang makna.

Selepas permainan, Ferguson menuju ke bilik persalinan dan memberikan penghargaan kepada penyokong United dan berkata: ''Hidup ini sentiasa berdepan saat turun namun anda perlu melaluinya.

''Mungkin kami boleh melihat kembali pada perlawanan yang lalu, tewas dua kali kepada Chelsea adalah satu kekecewaan besar.

''Ketika itu mereka juga meningkat mendadak dalam setiap perlawanan," katanya. - AFP

(Utusan Malaysia Online)

No comments: