Search This Blog

Saturday, September 7, 2013

PROF AGUS SEKOLAHKAN AHMAD MASLAN TIMBALAN MENTERI KEWANGAN MERANGKAP KETUA PENERANGAN UMNO PASAL ALASAN MENGAPA NAJIB NAIKKAN RON95 DAN DIESEL 20 SEN SELITER!!!!!

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen. PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."

Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh. Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan. Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.

Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?

Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.

Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.

Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!

Friday, September 6, 2013

Apa Kata Pakar Tentang Subsidi Minyak di Malaysia....(SINAR HARIAN)

Wajib baca: Apakata pakar..
..........
Sumber sisipan Sinar Harian: Apa Kesan Harga Minyak Naik?

Pakar Matematik Gunaan dedah fakta sama ada impaknya untung atau rugikan negara

Penyelarasan subsidi ke atas bebearapa bahan keperluan seperti petrol dan gula bukan sahaja memberikan kesan kenaikan harga keperluan asas lain, malah, pelbagai pihak dari sektor perkhidmatan juga menaikkan cas atas alasan tersebut.

Dalam keadaan yang semakin tertekan ini, kakitangan kerajaan yang bergaji RM3,000 sebulan pun sudah boleh dikategorikan miskin, apatah lagi yang tidak bekerja.

Ironinya, setiap kali kenaikan harga barang, golongan ini disaran berjimat cermat. Bagaimanakah lagi caranya hendak berjimat? Adakah sehingga makan sekali seminggu itu yang dikatakan berjimat? Semua saranan ini tentu sekali tidak akan meredakan kemelut sara hidup yang menyeksakan.

Bagi merungkai permasalahan kenaikan harga ini, ikuti wawancara khas wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN (Sinar Harian: 5 Januari 2011) dengan Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin. Beliau menggunakan pendekatan Matematik untuk meneliti fakta apakah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat.

1) Bolehkah harga bahan api ini diturunkan?

HAMID YEOP:

Ya boleh! Malah boleh diturunkan kepada 30 sen sahaja seliter jika menggunakan formula menurunkan harga minyak dan barang-barang yang sekaligus menghapuskan kemiskinan. Formula ini ditemui semasa kajian pada 2008 yang lalu.

Di pasaran dunia harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun asyik naik sahaja.

Sesiapa pun faham ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika kita RM2.70 seliter, ada negara lain jual hanya 16 sen seliter (Venezuela).

2) Bagaimanakah boleh dijual begitu murah sekali?

HAMID YEOP:

Untuk memudahkan orang awam faham, ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda.

Begitu juga minyak mentah. Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari pada kadar USD130 Setong (dengan kadar tukaran mata wang RM3.80 untuk USD1 satu ketika dahulu), ini bermakna perolehan setahun adalah USD33 billion iaitu melebihi RM126 billion. Dengan anggaran perolehan melebihi satu trillion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah Malaysia menurunkan harga bahan apinya? Jika benar rakyat didahulukan maka sudah tentulah jual murah didalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati rakyat.

3) Maknanya, kenaikan harga minyak mentah dunia tidak merugikan negara?

HAMID YEOP:

Ya benar. Bukan sahaja tidak merugikan Malaysia, tetapi sebaliknya mendapat keuntungan berganda. Seperti kelapa sawit, ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang tahu pasal telaga minyak. Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dalam dollar Amerika, bagi memudahkan perbandingan, anggapkan kadar tukaran RM kepada USD ialah RM3.50 untuk USD1.

Harga minyak pada Januari 2007 adalah USD50 iaitu RM175 setong. Justeru perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 billion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada USD138 iaitu RM483 setong. Justeru perolahan setahun sehingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 billion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 billion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu, keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

4) Dengan RM78 billion lebihan untung, lebih banyakkah subsidi?

HAMID YEOP:

Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Tetapi rakyat kini menanggung beban kenaikan harga minyak yang kononnya disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Ramai yang ingin tahu kemanakah perginya lebihan untuk RM78 billion ini? Lagilah tidak logik kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan Singapura dan kita tidak boleh ikut Singapura kerana ia negara pembeli bukan pengeluar. Harga di kilang tidak sama dengan harga di kedai.

5) Benarkah ada subsidi dan siapakah yang menerimanya?

HAMID YEOP:

Ketika minyak mentah berharga USD130 setong (RM455 pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1), kerajaan mengumumkan harga sebenar petrol di Malaysia adalah RM3.00 seliter dan diberikan subsidi RM0.30 sen menjadikannya RM2.70 seliter.

Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain? Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut mustahil mereka mahu jual dengan harga sama seperti dijual Petronas, iaitu RM2.70 seliter.

Sekiranya syarikat asing itu tidak mendapat sejumlah subsidi (sama ada daripada kerajaan atau Petronas atau kedua-duanya), tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan masing-masing sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura jauh lebih mahal.

Tinjauan saya mendapati stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing. Daripada jumlah itu, mereka hanya memperolehi komisen RM0.095. Ini bermakna, pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing. Lebih 80 peratus daripada RM33 billion subsidi dibayar kepada syarikat asing.

6) Jadi berapakah sebenarnya subsidi minyak kepada rakyat?

HAMID YEOP:

Berdasarkan RM33 billion yang dikatakan tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 billion liter. Lebih kurang 301 juta liter sehari.

Mengikut laporan pada tahun 2007, terdapat 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya, terutama yang di bandar besar dan lebuhraya beroperasi 24 jam.

Ini memberi gambaran purata jualan harian bagi setiap stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hampir 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukar diterima untuk sebuah stesen minyak kerana, secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter.

Jika benar ada subsidi maka angka-angkanya mesti selari dengan pengiraan matematik tadi, tetapi kerana angka-angkanya tidak sekena, maka keputusan ini‘menidakkan dan menolak kewujudan subsidi petrol berjumlah RM0.30 sen seliter atau RM33 billion setahun.’

Ada atau tidak subsidi minyak untuk rakyat? Andalah yang menentukan jawapannya.

7) Jika tiada subsidi, rakyat terpaksa membeli dengan harga yang mahal?

HAMID YEOP:

Sepatutnya tidak. Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak (petrol dan diesel) yang dijual di dalam negara.

Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual Petrol dengan harga lebih rendah. Secara langsung akan menaikkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan penjualan minyak.

Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan ke manakah perginya keuntungan Petronas.

Lagipun bukan semua pengusaha syarikat asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah dari Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut untung berbillion ringgit. Sedangkan dengan harga USD50 setong kerajaan mampu menanggung subsidi berbillion ringgit, inikan pula USD138 setong (RM483).

Bila untung 2 kali ganda sepatutnya turun separuh harga.

Benarkah stok minyak kita akan habis?

HAMID YEOP:

Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak menempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tidak akan habis. Minyak kita, kalau ambil satu tong dia boleh keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mmendapat maklumbalas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawsan carigali.

Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar. Kalau habis pun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama tenaga.

9) Formula ini telah Prof cipta semenjak 2008 tetapi tidak diterima kerajaan. Apa komen Prof?

HAMID YEOP:

Sebagai rakyat biasa yang prihatin saya hanya membantu dan mencadangkan setakat yang termampu. Asalnya pun daripada permintaan salah seorang menteri kabinet. Pada pendapat saya, model ekonomi yang digunapakai sekarang adalah betul pada mereka tetapi salah pada rakyat.

10) Akhirnya apakah harapan Prof?

HAMID YEOP:

Menurunkan harga barang menjadi harapan sebahagian besar rakyat. Saya sedia berkongsi formula ini dengan mana-mana pihak terutamanya perti politik yang berhasrat memerintah negara ini, supaya penjelasan dapat diberikan kepada rakyat jelata. InsyaAllah jika pemerintah melaksanakan formula ini, semua rakyat akan jadi kaya dan dalam tiga tahun Malaysia akan jadi ‘World Reserved Bank’.

Sisipan: SINAR HARIAN (5 Januari 2011)

oleh wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN