Search This Blog

Saturday, April 30, 2011

Soi Lek sanggup undi PKR jika sedia mansuh hak Melayu




KUALA LUMPUR, 29 April — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan beliau akan menjadi orang pertama mengundi PKR jika parti komponen Pakatan Rakyat itu sanggup memansuhkan keistimewaan orang Melayu.
“Jika PKR berani meminda Perlembagaan dan memansuhkan keistimewaan orang Melayu, saya adalah orang pertama akan mengangkat tangan untuk mengundi PKR,” kata presiden MCA dalam video yang diposkan menerusi Youtube di laman partinya.
Bagaimanapun beliau tidak mengatakan sama ada beliau akan secara peribadi menyokong keistimewaan orang Melayu dimansuhkan.
“Mengapa tidak? Tiada parti politik yang cakap mengenai ini.
Jika ya, undi orang Melayu akan pergi. Tiada kaum lain akan membatalkan hak dan keistimewaan mereka,” kata beliau.
Dalam video bertajuk “Harapan Seharusnya Bersandarkan Realiti-realiti Politik Negara”, bekas menteri kesihatan ini kelihatan mengesyorkan bahawa komuniti Cina seharusnya menerima senario politik semasa didominasi Umno dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun katanya, janji-janji Pakatan Rakyat memberi publik satu harapan tetapi itu semua adalah pembohongan.
“Saya mengakui bahawa kata-kata pembangkang menggambarkan keinginan generasi muda sebab mereka mewujudkan satu bentuk harapan.
“Tetapi dalam peredaran masa, rakyat akan melihat ia adalah pembohongan,” katanya.
Dr Chua berkata, harapan mesti bersandarkan pada realiti politik, dengan menekankan ia hanya boleh dipenuhi dengan menyokong MCA dalam lingkungan BN, perikatan yang memerintah.
“Jadi, anda boleh ada harapan anda tetapi harapan perlu bersandarkan realiti politik negara ini,” katanya lagi.
Malah dalam video 84 saat itu, Dr Chua juga mengingatkan bahawa agenda politik PAS ialah mempromosikan Islam.
Pandangan Dr Chua ini muncul beberapa hari selepas keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April di mana BN hilang di kesemua kerusi majoriti Cina.

Tuesday, April 12, 2011

Sekolah terima notis awalkan peperiksaan, petanda PRU-13?




KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan — dipercayai sebahagian persiapan menghadapi hari pengundian kelak.
Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.
Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.
Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.
Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.
“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.
Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.
Pengundian pilihan raya negeri Sarawak diadakan 16 April ini.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui BN itu akan berjaya mempertahankan Sarawak namun ramai yang percaya kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri BN akan berkurangan.
Kini, BN Sarawak yang dipimpin Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu.
Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.
Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.