Search This Blog

Showing posts with label Hari Guru 2011. Show all posts
Showing posts with label Hari Guru 2011. Show all posts

Monday, May 16, 2011

Komen Mengenai 5 Kaedah Kenaikan Pangkat Baru Bagi Guru

Bersyukur dan berterima kasihlah wahai insn bergelar guru, tapi macam mana pulak guru2 GPK pentadbiran, HEM dan KK sekolah biasa ( bukan kluster) DGA 32 tak ada kenaikan ke DGA 34 ke, mereka hanya diberi elaun tanggungan RM60 sebulan.Berbanding beban tugas yg terpaksa dilaksanakan memang tidak berbaloi. Kris Jati

Tak menarik langsung. kami GPK sek rendah dah hampir 10 tahun pegang jawatan hakiki 32 masih di takuk lama. bebanan tugas dilongok pada GPK, yg dapat hasil hanya bos ,. nsib badan.  guru tua

Terima atas kaedah kenaikan pangkat yang baru di umumkan oleh PM tapi ianya tidak menyeluruh kerana guru PPPLD dan Guru Besar dan Penolong Kanan di Sekolah Rendah tidak terlibat dalam kaedah ini ianya melibatkan Sekolah Menengah. Ali Hassan bin Ismail

Pengetua naik gred, Semua GPK Sekolah Menengah naik gred, Semua GPK Sek Rendah Klaster naik gred. Tetapi Guru Besar dan GPK di 7,709 buah sekolah rendah putih mata. 7,709 buah Sek Rendah X (1GB + 3GPK) = 30,836 orang PENGUNDI.  taku

1st kami ingin mengucapkan terima kasih pada PM kerana mengumumkan perkara di atas. Tapi kami guru-guru sekolah rendah (bukan sekolah kluster)macam x kena pandang aje... Tengoklah gred jawatan GPK di sekolah rendah biasa masih lagi macam dulu DGA32. Tapi sekolah menengah dan sekolah rendah kluster semua berubah. Yelah.. kami sekolah kampungan...belum capai tahap lagi agaknya...   muhamad nizam

Nampaknya golongan guru DG41 sekali lagi kurang peluang mereka untuk naik. Ramai di kalangan guru DG41 di Sarawak yang dilantik sebagai penolong kanan tetapi belum dilantik ke DG44 nampaknya tidak berpeluang dalam kaedah kenaikan ini kerana "...semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48..." Golongan yang menunjukkan pencapaian baik ini terpaksa memikul beban tugas yang lebih besar daripada gred mereka.

Begitu juga halnya guru DGA29 yang tamat belajar dan dilantik ke DG41 turut kehilangan peluang kerana telah dipotong oleh rakan yang menerima DGA32 sebelum ke DG41. Secara kasarnya, hanya 2% sahaja golongan pendidik ini yang memperolehi peluang ini.
Apa-apapun dengan perasaan bangga diucapkan "SELAMAT HARI GURU". Kita dikatakan "GURU PENJANA TRANSFORMASI NEGARA". Tanpa kita transformasi negara akan terbantut. Saya berbangga menjadi CIKGU.        Halim

Komen-komen dipetik dari Berita Harian Online.

Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM

Berita Harian Online
2011/05/16


KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.
Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.
Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.
Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.
"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.
Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.
"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.
Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.
Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.
Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.
"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.
"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.
Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.
"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA